Keluasan Islam Dalam Menangani Pelbagai Budaya

Berabad lamanya, tamadun Islam dihidupkan dalam keharmonian bersama pelbagai budaya. Islam tidak pernah menghapuskan sesuatu budaya tetapi hidup beriringan dengan setiap budaya yang dirahmatinya. Dari Maghribi di barat Afrika, Arab, Farsi, Afghan, India, China hingga ke alam Melayu – kesemua mengekalkan identiti budaya masing-masing dengan warna Islam. Islam itu sifatnya merangkumi dan inklusif, bukannya menyisih dan menghapus.

Dalam sejarah, Islam telah terbukti mesra budaya, ibarat sebuah sungai yang jernih dan indah. Airnya yang jernih tanpa warna adalah Islam yang menghidupkan sekitarnya, keceriaan sungainya diwarnai oleh persekitaran dan warna dasar sungai yang dilaluinya. Di China, Islam nampak China, di Mali Islam nampak Afrika, di Malaysia dan Indonesia, Islam nampak Melayu. Agama menjadi relevan dan dinamik merentasi budaya dan merentasi zaman. Para sahabat dan cendikiawan Islam dapat memisahkan dengan baik yang mana syrai’at Islam yang menjadi kebenaran yang kekal dan yang mana hiasan indah warna budaya yang akan berubah dan beredar mengikut zaman.

Firman Allah SWT :

“Wahai Manusia! Sesungguhnya kami telah mencipta kamu dari seorag lelaki dan seorang wanita, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenal..
(Al-Hujurat 49:13)

Dalam konteks Malaysia, adalah imperatif untuk masyarakat mampu memisahkan antara pautan budaya dan syari’at Islam yang kekal. Melayu boleh diterima sebagai Islam tetapi Islam itu tidak semestinya Melayu. Cina tidak selamanya kekal kufur dan menjadi tanggungjawab muslim mengajak mereka kepada Islam tanpa mengorbankan identiti Cina mereka.

Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak memerangi budaya dan etnik kaum di dunia. Malah mereka menerima baik amalan, adat dan kaum etnik lain dari pelbagai tempat. Islam tidak datang dengan matlamat untuk menegakkan Islam dan menghapuskan budaya dan identiti etnik yang ada. Islam tidak cuba menghilangkan identiti sesuatu kaum dan digantikan dengan identiti Islam. Tetapi Islam datang mengekalkan identiti kaum dan Islam tertegak di dalam budaya dan identiti kaum sedia ada. Islam menegakkan konsep sebaik-baik manusia adalah yang paling dekat dirinya kepada Allah SWT.

“… Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi-Nya ialah yang paling bertaqwa di kalangan kamu”
(Al-Hujurat 49:13)

Sunnah Nabi dan Had Allah bukan bertujuan untuk menghilangkan budaya dan identiti sesuatu kaum tetapi menghidupkan dan menyuburkan budaya dan identiti kaum dengan sintesis Islam yang positif. Banyak sunnah Nabi SAW datang dari era pra kenabian yang diterima ke dalam Islam, samada dari amalan Arab atau bukan Arab. Jumlah diyat umpamanya adalah sunnah yang dimulakan oleh Abdul Mutallib. Abu Yusuf menyatakan norma budaya setempat yang baik adalah satu juzu’ penting dalam sunnah. Contohnya, Ibn Al-Mawaq, seorang faqih abad ke-15, menjelaskan bukan tujuan sunnah pakaian nabi untuk mengubah integriti budaya bukan Arab. Muslim bebas meneruskan identiti pakaian budaya mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syari’at Islam.

Al-Quran menyarankan kepada Nabi SAW agar merangkumi tuntutan adat dan budaya dan menjadikan adat sebagai satu rujukan fiqh Islami.

Firman Allah SWT :

“Ambillah (dari mereka) apa yang biasa oleh mereka, dan suruhlah apa yang baik mengikut kebiasaan mereka, dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil”
(Al-A’raf, 7:199)

NB : Terjemahan mengikut tafsiran dari terjemahan Muhammad Asad.

Ibn ‘Atiyyah, seorang faqih dan mufassir Andalusia menjelaskan ayat ini bukan sahaja mengangkat budaya setempat, malah mengesahkan dan membenarkan apa sahaja yang dianggap baik dan bermanfaat oleh hati manusia selagi mana ia tidak bertentangan dengan wahyu ilahi. Bagi fuqaha’ silam, ayat ini sering menjadi hujah penting dalam penerimaan kebiasaan budaya dan adat yang baik.

Kisah Banu Arfida, satu kaum berasal dari Afrika berkulit hitam Najashi, memberi gambaran bagaimana Rasulullah SAW menerima budaya asing. Di satu musim perayaan, sekumpulan kaum Afrika berkulit hitam muslim memukul gendang dan menari bersama lembing mereka di dalam masjid nabi. Umar Ibn Al-Khattab ingin menegah mereka tetapi Rasulullah SAW menahan Umar dan menyuruh Umar membiarkan mereka dan menyatakan bahawa mereka adalah Banu Arfida, (biarkan mereka merayakan mengikut budaya mereka). Rasulullah SAW kemudian mengajak Aisyah untuk menonton tarian tersebut. Baginda mengangkat Aisyah ke atas bahu beliau agar Aisyah dapat melihat dengan lebih jelas dan Aisyah menonton dengan penuh tekun tarian tersebut. Mengikut satu riwayat yang sahih, Rasulullah SAW menyatakan “Teruskan permainan kamu wahai Banu Arfida, supaya kaum Yahudi dan Nasrani tahu ada keringanan dalam agama kita”.

Tegahan terhadap Umar supaya tidak campur tangan menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menghendaki orang Najashi itu tidak dihukumkan mengikut neraca budaya orang Arab. Banu Arfida punya budaya dan adat mereka sendiri yang perlu dihormati. Masuknya Banu Arfida ke dalam Islam bukan bermakna mereka keluar dari budaya asal mereka dan mengamal budaya Arab dan menjadi Arab! Rasulullah SAW membenarkan Arab meneruskan budaya Arab dan non-Arab meneruskan budaya non-Arab. Insiden Banu Arfida ini telah menegakkan satu sunnah penting iaitu sunnah meraikan dan menghormati budaya setiap bangsa.

Rasulullah SAW menanamkan sifat terbuka dan inklusif terhadap pelbagai bangsa dan budaya. Inilah yang diamalkan oleh para sahabat dan kita boleh mengambil iktibar dari sikap mereka terhadap Rom. Kerajaan Rom bukan sahaja memusuhi kebangkitan Islam, mereka merupakan musuh yang paling kuat yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu. Satu riwayat dari ‘Amr Al-’As bahawa Rasulullah SAW menyatakan bahawa Rom akan menjadi satu kuasa dominan di akhir zaman (Rom di zaman itu dianggap sebagai “Eropah” mengikut konteks sekarang). ‘Amr memberikan komentar sebegini :

“Mereka (Rom) memiliki 4 ciri yang terpuji. Mereka sangat tabah menghadapi perpecahan,mereka sangat cepat bangkit dari malapetaka, mereka mampu menyerang balas selepas kekalahan, dan mereka adalah yang terbaik dalam layanan terhadap golongan miskin, anak yatim dan golongan lemah.” Kemudian ‘Amr menambah, “dan mereka mempunyai ciri ke-5 yang cemerlang; mereka adalah yang terbaik dalam memastikan raja mereka tidak zalim.”

‘Amr bercakap tentang kualiti bangsa Eropah yang pada tanggapannya selari dengan prinsip Islam dan universal sifatnya. Ulasan ‘Amr ini menunjukkan fahamannya yang tepat tentang penguasaan tamadun Eropah di masa hadapan hasil kefahaman yang mendalam tentang hadits ini. Tetapi ‘Amr tidak melihat hadits ini dari sudut pandang negatif, seklusif atau kofrontif, tetapi melihat aspek-aspek positif Eropah, inklusif sikapnya dalam mengambil nilai-nilai terpuji Eropah.

Di Malaysia, keadaan masyarakat berbilang kaum menuntut kita meluaskan perspektif dan sudut pandang kita dalam menghadapi keadaan semasa baik dari segi sikap kita terhadap budaya lain atau dalam memahami fiqh dalam Islam. Umat Islam seharusnya lebih positif, terbuka, mengambil pandangan fiqh dengan melihat konteks dan cuba merangkumi kepentingan semua kaum dan agama, malah merangkumi pertimbangan alam sekitar.

Arus pemikiran yang lebih berilmu dan mengambil kira matlamat atau maqasid syar’iyah harus diketengahkan dan dijadikan aliran arus perdana di negara tercinta ini.

Wallahu a’lam.

Leave a comment