Sumber Sekunder : Qiyas

Qiyas adalah hujah dengan menggunakan logik analogi. Seorang faqih akan cuba mencari kes yang sudah ada fatwa atau hukum dan kes tersebut mempunyai persamaan dengan permasaalahan yang sedang dihadapinya. Persamaan yang dicari adalah persamaan dari segi asas mengapa hukum itu tertegak, iaitu dengan melihat ‘illah (sebab hukum) atau dengan melihat hikmah (hikmat) sesuatu hukum. Qiyas juga merujuk kepada penggunaan kaedah umum/hukum umum yang terhasil dari kes-kes spesifik. Perkara yang menjadi pertimbangan adalah apakah sesuatu permasaalahan baru yang dihadapi itu boleh menggunakan kaedah atau hukum umum atau masaalah baru itu tidak sesuai untuk dipadankan dengan mana-mana hukum umum yang ada. Adakah terdapat halangan-halangan atau sebab-sebab yang menyebabkan hukum umum tidak boleh diaplikasikan kepada masaalah tersebut.

Qiyas adalah satu hujah logik akal yang diterima oleh semua mazhab besar Ahli Sunnah wal Jamaah. Keempat-empat mazhab utama dalam Islam – Maliki, Syafi’ie, Hanbali dan Hanafi – telah menggunakan qiyas dalam ijtihad mereka. Namun qiyas tidak mendapat konsensus total tentang cara atau metod aplikasi qiyas dan had/batas yang dikenakan oleh mujtahid terhadap penggunaan qiyas.

Dalil yang digunakan untuk penggunaan qiyas adalah seperti berikut :
اللَّهُ الَّذِي أَنزَلَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ وَالْمِيزَانَ وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ السَّاعَةَ قَرِيبٌ
Allah yang menurunkan kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran dan mizan. Dan tahukah kamu boleh jadi waktunya (hari qiamat) sudah dekat.
As-Syura (42 : 17)

Ibn Uthaymin dalam Al-Usul min Ilm al-Usul memberikan komentar bahawa perkataan mizan (timbangan) dalam ayat di atas bermaksud apa-apa yang digunakan untuk pengukuran dan perbandingan. Oleh itu ia membawa implikasi pembenaran dan keizinan penggunaan qiyas.

Ibnu Abbas meriwayatkan :
Seorang wanita telah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Ibuku telah meninggal dunia, dan dia terhutang sebulan puasa Ramadhan.” Rasulullah SAW bersabda “Jika sekiranya ibumu meninggal hutang adakah engkau akan membayar hutangnya?” Wanita itu menjawab, “Ya (yakni aku akan membayar bagi pihaknya)”. Sabda Nabi “Hutang dengan Allah SWT lebih dituntut untuk dibayar.”
Sahih Muslim, no 2553.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan :
Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, isteriku melahirkan seorang bayi berkulit hitam.” Sabda Nabi, “Adakah kamu memiliki beberapa ekor unta?” Jawab lelaki tersebut, “Ya!” Nabi bertanya apakah warna unta-unta tersebut?” Jawab lelaki tersebut, “Warna merah.” Nabi bertanya “Adakah unta yang berwarna kelabu di antara unta-unta tersebut?” Jawabnya, “Ya”. Dia bertanya “Adakah mungkin ada kelainan dalam baka yang diwarisi oleh unta tersebut?” Nabi bersabda kepada lelaki tersebut, “Mungkin ada kelainan dalam baka yang diwarisi oleh bayi kamu.”
Cited in Ibn Qayyim, al-Jawziyyah.

Dalam hadits Ibn Abbas di atas, Rasulullah SAW membuat satu analogi antara hutang kewangan sesama manusia dengan hutang puasa Ramadhan kepada Allah SWT, iaitu analogi antara hukum hutang kewangan simati dengan hukum puasa simati. Sementara dalam hadits kedua di atas, Rasulullah SAW membuat analogi antara anak unta yang berlainan warna kuilt dari kelompok unta keturunannya dengan kelahiran bayi memiliki warna kulit yang berlainan dari bapanya sehingga isteri lelaki tersebut tidak boleh dituduh atas kesalahan zina hanya dengan bukti warna kulit yang berlainan dari bapanya.

Contoh aplikasi qiyas ialah dalam hukum haramnya penyalahgunaan dadah. Dalam mencari fatwa untuk penyalahgunaan dadah, ulama’ telah membuat perbandingan dengan hukum haramnya arak. Al-Quran jelas mengharamkan arak. Persoalan yang relevan untuk dijadikan perbandingan adalah mengapakah arak itu diharamkan? ‘Illah arak diharamkan ialah ia memabukkan. Dari segi hikmah pula, disebut di dalam Al-Quran bahawa kemudharatan arak lebih besar dari kemanfaatan. Jadi kita boleh mengambil 2 hukum umum dari kes spesifik ini. Pertama, apa-apa yang memabukkan sehingga hilang kewarasan akal pertimbangan adalah haram. Kedua, apa-apa yang kemudharatannya jauh lebih besar dari kemanfaatannya, hukumnya adalah haram. Oleh itu dari perbandingan seperti ini dapat disimpulkan bahawa penyalahgunaan dadah adalah haram.

Satu lagi contoh hukum yang menggunakan kaedah analogi ialah hukum bahwa air liur anjing itu adalah najis berat (mughallazah) dan apa-apa yang terkena air liur atau terkena anjing perlu dibasuh 7 kali, 1 dari basuhan itu hendaklah dengan air yang bercampur dengan tanah.

Hadits sahih dari Abu Hurairah menyatakan bahawa jika anjing menjilat minuman salah seorang kamu, tuangkan/buang air tersebut dan basuhlah bekas air itu sebanyak 7 kali, salah satu basuhan dengan tanah. Lalu ulama’ berbeza pendapat apakah ‘Illah kepada arahan tersebut. Imam Syafi’ie berpendapat arahan membasuh 7 kali menunjukkan air liur anjing itu adalah najis berat..

Tetapi imam Malik berpendapat bahawa arahan itu tidak menunjukkan ia adalah najis. Kesimpulan ini diambil atas beberapa sebab:

  1. Tidak dinyatakan dalam hadits itu apakah sebab arahan itu.
  2. Di dalam Al-Quran ada menyebut binatang buruan yang digigit anjing buruan boleh dimakan tanpa perlu dibasuh. Oleh kerana As-Sunnah tidak boleh mengatasi hukum Al-Quran, hadits ini tidak boleh mengharamkan apa yang dihalalkan di dalam Al-Quran.
  3. Membasuh banyak kali (7 kali) bukan menunjukkan najis. Contohnya, membasuh anggota wuduk 3 kali, ini bukan menunjukkan najis. Mengikut hukum, najis boleh dibersihkan hanya dengan basuhan biasa. Bila arahan ini adalah basuhan lebih dari sekali, ini bukan lagi kerana najis tetapi kerana sebab lain yang tidak diketahui.

Oleh itu imam Malik tidak menghukumkan anjing dan air liur anjing itu sebagai najis. Di sini kita dapat melihat bagaimana perselisihan pendapat boleh berlaku dalam mengaplikasi qiyas. Ulama’ boleh berbeza pendapat tentang apakah ‘Illah kepada sesuatu arahan nabi dan Al-Quran.

Ulama’ juga berbeza pandangan jenis-jenis qiyas, syarat-syarat penggunaan qiyas dan sejauh mana boleh dithabitkan hukum dengan menggunakan qiyas. Kebanyakan ulama’ tidak membenarkan qiyas digunakan dalam perkara-perkara aqidah dan ibadah.  Mereka juga tidak menjatuhkan kafir seseorang yang menolak qiyas.

Penentuan ‘Illah dan hikmah sesuatu arahan menyebabkan fatwa berasaskan qiyas bersifat spekulatif (zanni) dan bukan sesuatu yang putus secara jelas (qat’ie). Ditambah pula bila ada qiyas yang disandarkan kepada hadits Ahad, menyebabkan tahap spekulatif sesuatu fatwa itu agak tinggi. Oleh itu banyak syarat yang telah diletakkan oleh ulama’ dalam membenarkan penggunaan qiyas, bertujuan mengurangkan tahap keraguan/spekulatif pada fatwa yang dibuat melalui qiyas.

Dalam cuba memisahkan antara Sunnah dan Qiyas, dan memastikan Qiyas tidak menceroboh apa yang jelas Sunnah, walaupun berhadapan dengan satu keadaan di mana qiyas nampak sangat cocok digunakan, imam Hanafi pernah membuat kenyataan “Tidak ada qiyas dalam sunnah, tidak boleh diambil contoh daripadanya (wa laysa fi al-sunnah qiyas, wa la yudrab laha al-amthal)”.

Imam Ahmad bin Hanbal akan mencari sebanyak mungkin hadits dari hadits-hadits sahih, ahad dan mutawatir, juga pendapat-pendapat sahabat dan imam-imam sunni sebelum menggunakan kaedah qiyas.

Mazhab Zahiri menolak total qiyas sebagai hujah sumber sekunder dalam syari’ah.

Adaptasi dari buku Shari’ah Intelligence – Basic Principles and Objective of Islamic Jurisprudence; Lesson – Secondary Source : Qiyas. By Islamic Education Trust of Nigeria.

Leave a comment