Sumber Sekunder : Ijma’

Salah satu sumber yang menjadi hujah atau alat ijtihad adalah Ijma’. Ijma’ adalah konsensus tentang satu-satu pendapat. Ijma’ kadangkala bermaksud konsensus total bagi setengah ulama’ dan bermaksud konsensus majoriti bagi setengah ulama’ lain.

Majoriti ulama’ menyatakan Ijma’ adalah hujah logik akal dan sumber hujah/dalil fiqh yang ketiga dalam Islam selepas Al-Quran dan Sunnah .

Ijma’ memberi keyakinan dan lebih autoriti kepada para fuqaha’ dalam penafsiran atau dalam mengeluarkan fatwa. Walaubagaimanapun ulama’ berbeza pendapat tentang maksud Ijma’ dan bagaimana konsensus (Ijma’ ) itu tercapai, tahap kaabsahan Ijma’, bagaimana Ijma’ itu digunakan, dan tentang autoriti Ijma’. Dengan kata lain ulama’ tidak sepakat tentang definasi Ijma’ dan kekuatan hujah melalui Ijma’. Oleh itu apabila seorang faqih menggunakan Ijma’, perhatian perlu diberi tentang apa yang dimaksudkan olehnya dengan Ijma’ , bagaimana ijma’ itu dicapai dan cara dia mengaplikasikan Ijma’ itu.

Apa yang dianggap Ijma’ oleh setengah ulama’ mungkin dianggap tiada Ijma’ oleh ulama lain. Sukar kita dapati satu hukum dimana ulama’ sepakat bahawa hukum itu adalah ijma’ di kalangan seluruh ulama’ Islam. Jika ada ulama’ mengatakan ia Ijma’, akan ada ulama’ yang berpendapat sebenarnya tiada Ijma’ dalam hukum tersebut.

Antara perkara yang menjadi persoalan dalam Ijma’ ialah apakah skop Ijma’ itu. Adakah Ijma’ bermaksud kesepakatan kesemua ulama’ merentas zaman? Atau Ijma’ itu hanya untuk satu generasi ulama’ yang menghadapi masaalah fiqh tersebut? Jika Ijma’ bererti kesepekatan kesemua ulama’  merentas zaman yang meliputi generasi para sahabat, ulama’ generasi awal, generasi kemudian hingga ulama’ kini, maka hampir mustahil Ijma’ itu dapat dicapai. Ada pendapat yang menyatakan Ijma’ hanya boleh dicapai dalam generasi sahabat kerana berlaku konsentrasi populasi sahabat di Madinah.

Imam Malik pula melihat Ijma’ penduduk Madinah adalah satu sumber hukum yang kuat dalam Islam – faktor geografi dan sejarah unik penduduk Madinah. Kita akan bincang hal ini dalam tajuk Amal Ahl Madinah kemudian.

Satu lagi kesukaran Ijma’ ialah dalam menentukan siapakah ulama’ yang patut diambil kira untuk untuk mencapai Ijma’ baik dari segi kelayakan seorang alim atau dalam mengenal pasti kesemua ulama’ yang berkelayakan.

Inilah antara isu-isu yang timbul tentang Ijma’. Wallahu’lam.

Antara dalil-dalil yang digunakan untuk justifikasi penggunaan Ijma’ ialah seperti berikut :

Firman Allah SWT :

وَمَن يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَىٰ وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Dan barangsiapa yang menentang rasul setelah jelas kepadanya kebenaran, dan mengikuti selain dari jalan orang mukmin, kami biarkannya dalam kesesatan yang telah dilakukannya itu. Dan kami masukkannya ke dalam neraka jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
An-Nisaa’ (4 : 115)

Firman Allah SWT :

وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ

Dan jika sekiranya mereka merujuk kepada Rasul dan Ulil Amri dari kalangan mereka (iaitu mereka yang mempunyai autoriti dalam urusan itu), pasti mereka akan mendapat penjelasan yang benar dari mereka (Rasul dan Ulil Amri).
An-Nissa’ (4 : 83)

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan mereka yang berautoriti (ulil amri) di kalangan kamu.
An-Nisaa’ (4 : 59)

Firman Allah SWT :

وَمِمَّنْ خَلَقْنَا أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِالْحَقِّ وَبِهِ يَعْدِلُونَ

Dan dari kalangan mereka yang kami ciptakan, ada satu komuniti/golongan/umat yang kami beri petunjuk kebenaran dan mereka berlaku adil dengan kebenaran itu.
Al-A’raf (7 : 181)

Surah Al-A’raf ayat 181 ini menunjukkan hujah yang jelas bahawa Allah SWT menyebelahi pendapat yang disepakati oleh komuniti yang berkelayakan (ulama’).

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَجْمَعُ أُمَّتِي – أَوْ قَالَ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم – عَلَى ضَلاَلَةٍ وَيَدُ اللَّهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ وَمَنْ شَذَّ شَذَّ إِلَى النَّارِ

Sesungguh Allah tidak akan mengumpulkan umatku – atau kata Ibnu Umar umat Muhammad – di atas kesesatan. Dan tangan Allah bersama jama’ah. Dan barangsiapa menyimpang, dia telah menyimpang ke arah neraka.

At-Tarmidzi, Hadits no 2167. Ibn Majah, no 3950. Abu Daud, no 4253.
Albani menganggap hadits ini Hasan, Silsilat al-Ahadith al-Sahiha, no 1331.
NB : Juga lihat At-Tarmidzi, hadits no 2166.

Contoh-contoh hukum yang dikatakan disepakati secara Ijma’ ialah hukum terbatalnya solat jika ketawa dengan sengaja di dalam solat, solat fardu yang ditinggalkan dengan sengaja mesti diganti, talak yang dinyatakan sebanyak 3 kali dalam satu masa membawa kepada jatuhnya talak 3 kepada isteri dan sembelihan binatang tanpa disebut nama Allah adalah tidak sah.

Adaptasi dari buku Shari’ah Intelligence – Basic Principles and Objective of Islamic Jurisprudence; Lesson – Secondary Source : Ijma’. By Islamic Education Trust of Nigeria.

Leave a comment